Hidup ini umpama roda,setinggi
mana pun kita berdiri jangan lupa untuk melihat rumput di bawah. Tak
selamanya kita akan terus berada di atas dan bila-bila masa sahaja kita akan
berada di bawah bersama mereka yang lain. Ketika itu,barulah kita tahu untuk
menilai yang mana baik mahupun buruk. Sesekali lihatlah ke kiri,kanan,atas dan
bawah agar diri kita tahu untuk menghargai orang yang berada di sekeliliing
kita.
Menghargai orang bukan
bermakna kita perlu menghadiahkan mereka dengan pujian
melangit tetapi cukuplah sekadar ucapan “terima kasih”. Dengan ucapan
seperti ini ia sudah memadai dan membuatkan orang di sekeliling rasa
dihargai. Sebelum ingin diri kita dihargai, belajarlah untuk
menghargai orang lain terlebih dahulu.
Ucapkan
Terima Kasih
“Terima kasih sebab membantu
saya.” Sedapnya bila mendengar ucapan tersebut kepada orang yang banyak
membantu kita selama ini. Ucapan seperti ini sebenarnya boleh membuatkan
mereka rasa dihargai. Sudahlah si dia membantu kita hingga penat lelah,
namun ucapan terima kasih pun susah nak cakap. Aduh! hati betul-betul
kering. Apa salahnya kita mengucapkan kata-kata itu, bukan berat
sangat pun. Justeru itu kita perlu belajar meringankan mulut untuk
menyatakan sesuatu yang lebih mesra agar orang di sekeliling tidak
berasa kecewa dengan sikap kita.
Bantu Ahli Lain
Walaupun dilantik menjadi
seorang ketua di dalam sebuah kumpulan, kita juga perlu turun padang
dan bersama-sama membantu ahli yang lain melaksanakan tugasan.
Dilantik sebagai ketua bukan hanya untuk memantau ahli-ahli yang lain
semata-mata, sebaliknya kita juga harus bertindak untuk
memastikan tugasan tersebut berjaya.
Hargai Kerja Orang Lain
“Arghh! Lembaplah kau ni! Salah
pulak tu! reti ke tak kau buat kerja?” Pergh. Pedas sungguh ayat kita
ketika melontarkan kata-kata tersebut. Boleh dikatakan menusuk ke
lubuk hati malah lebih daripada itu. Kita perlu tahu untuk menjaga
hati dan perasaan orang lain. Cuba kalau kita berada di tempatnya, apa
yang kita rasakan? Mesti sedih dan sakit hati bukan? Begitu juga
dengan mereka. Jangan kita fikir marah kita sahaja,
sekurang-kurangnya kita juga perlu menghargai penat lelah mereka
ketika menyiapkan tugasan tersebut. Walaupun hasilnya tidak begitu
meletup, namun mereka berjaya juga menghasilkannya dengan baik.
Memahami Masalah
Yang Dihadapi
Belajarlah untuk memahami
orang lain sebelum kita ingin orang lain memahami diri dan tugas
kita. Jangan bertindak meletakkan kesalahan di bahu rakan sepasukan
berbanding diri kita sendiri. Bahkan kita merasakan bahawa kitalah yang
betul dan mereka pula yang salah, sedangkan kita tak tahu apa masalah
yang dihadapi. Walaupun kita bertindak sebagai seorang ketua, namun
kita harus memahami mereka yang berada di bawah penyeliaan kamu. Cara
ini sebenarnya mampu mengeratkan hubungan kita dan rakan-rakan yang
lain. Sekurang-kurangnya mereka tahu yang kita memahami masalah
mereka.
Bekerjasama
Semangat setia kawan itu
penting bagi membentuk sesebuah kumpulan.Sekiranya semangat ini tidak ada,
maka hancur dan kacau bilaulah pasukan tersebut. Sebagai seorang
ketua, kita perlu bijak menangani masalah yang ada dan tahu untuk
menguruskan ahli-ahli di bawah kita. Kita perlu membahagikan tugas
dengan adil, barulah pasukan kita berjaya mencapai matlamat sebenar dan
menuju ke arah yang sama. Bukan mudah sebenarnya untuk
menyatukan kesemua ahli kumpulan agar mereka bersatu. Setiap orang
mempunyai
pelbagai kerenah dan pandangan
masing-masing. Oleh itu peranan kita memang amat penting.
Jangan Pentingkan Diri
“Kau kena ingat aku ni ketua
dalam kumpulan kita, jadi apa-apa pun tanya aku terlebih dahulu!”
Amboi,berlagaknya. Kadangkala kita sendiri menyampah bila mana kita
berhadapan dengan orang seperti ini bukan? Lagaknya mengalahkan orang
besar pula. Tolonglah, kita hanya ketua di dalam kumpulan yang kecil
sahaja dan bukan besar mana pun. Jangan terlalu mementingkan diri
sendiri. Ada kalanya, bagi mereka peluang untuk menyatakan
pandangan mereka. Suka atau tidak, kita nyatakan dengan baik agar
pandangan kita itu diterima. Jangan pula kita menengking dan
menghamburkan kemarahan kita akibat tidak berpuas hati.
http://farraheenrashidi.blogspot.com/2012/02/belajar-menghargai-orang-lain.html
Tidak ada komentar:
Posting Komentar